KGT Masih Beroperasi Di Sebalik Kontroversi

KOTA BHARU 21 Jun - Kelantan Gold Trade Sdn. Bhd. (KGT) masih berurusan seperti biasa walaupun di sebalik kontroversi yang timbul selepas tiga individu membuat laporan polis terhadap salah seorang pegawai kanan syarikat tersebut.

Tinjauan Utusan Malaysia di pejabat tersebut di KB Cyber Plaza serta di tapak Ekspo Perdagangan Dunia Islam dan Konvensyen Halal Berasaskan Dinar dan Dirham di pekarangan Stadium Sultan Muhamad IV hari ini mendapati proses penjualan dinar tersebut masih berjalan seperti biasa.
Bagaimanapun usaha untuk mendapatkan komen daripada Pengurus Besarnya, Mahadi Mokhtar mengenai isu tersebut gagal apabila dimaklumkan oleh kakitangan syarikat itu, beliau sibuk.
Pada masa sama, Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa dan Mahadi gagal dihubungi bagi mendapatkan reaksi berhubung isu tersebut.
Sementara itu, Utusan Malaysia sempat menemui beberapa peniaga di sekitar ekspo berkenaan bagi mendapatkan maklum balas mengenai urus niaga menggunakan mata wang dinar dan dirham.
Rata-rata peniaga yang ditemui mendakwa mereka tidak menjalankan urusan jual beli menggunakan dinar dan dirham kerana menimbulkan kesulitan.

Seorang peniaga yang dihanya dikenali sebagai Wan Salamiah berkata, dia masih menjalankan urusan jual beli dengan menggunakan mata wang ringgit kerana lebih mudah.
Katanya, urusan menggunakan dinar dan dirham ini terlalu awal untuk dipraktikkan memandangkan masih ramai yang tidak faham dengan urus niaga tersebut.

"Dinar dan dirham ini bukan tidak bagus, namun masyarakat kita sememangnya sudah biasa menggunakan mata wang ringgit dan ia lebih mudah," katanya.
Seorang lagi peniaga, Azwani Ahmad berkata, tidak semua orang mampu menggunakan dinar dan dirham ini kerana ia agak mahal untuk dibeli.

Sementara itu, pengedar rasmi dinar dan dirham Kelantan, NNM Gold Resources, Ismail Johari ketika ditemui berkata, dinar dan dirham yang dikeluarkan oleh KGT ini mendapat sambutan yang sangat hebat daripada orang ramai.

0 comments:

Post a Comment