"Jawab Kemelut KGT"

KOTA BHARU 21 Jun - Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan Kelantan, Datuk Husam Musa didesak menjelaskan kepada rakyat negeri ini mengenai kemelut yang berlaku dalam Kelantan Golden Trade Sdn. Bhd. (KGT) iaitu sebuah syarikat pengeluar mata wang dinar dan dirham milik penuh Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, Husam juga diminta memberi penjelasan mengenai segala persoalan yang timbul mengenai dakwaan salah laku terutamanya melibatkan salah seorang pegawai kanan syarikat tersebut.

Beliau berkata, selain itu, Husam perlu berani menjawab segala soalan yang dikemukakan penulis blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz dalam blognya, http://kickdefella.net supaya rakyat lebih jelas dan tidak lagi diselubungi dengan kekeliruan.

"Situasi itu kini menjadi tanda tanya kepada rakyat dan sememangnya tanggungjawab kerajaan negeri memberi penjelasan.

"Rakyat perlu tahu segala-galanya dan selaku kerajaan yang menguruskan syarikat pengeluar mata wang dinar terbesar negeri ini, sebarang kemelut yang timbul harus dijawab dengan segera," katanya.

Beliau mengulas tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kelantan baru-baru ini yang mendesak Husam supaya menjawab semua persoalan yang dikemukakan mengenai kemelut KGT terutamanya melibatkan pegawai kanan syarikat tersebut.

Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan penulis blog Kickdefella mendedahkan tiga laporan polis berhubung salah laku seorang pegawai kanan KGT.

Ekoran daripada itu, Husam menafikan bahawa laporan itu wujud, bagaimanapun pihak polis mengesahkan menerimanya.

Tambah Fatmi, beliau yang merupakan rakyat negeri ini ingin tahu apa sebenarnya berlaku di belakang tabir skandal tersebut.

Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Pas juga telah bercanggah, terutamanya apabila menafikan laporan polis yang dibuat walaupun pihak keselamatan itu mengesahkan ada menerima laporan.
"Situasi tersebut jelas semakin mengelirukan rakyat, kerajaan negeri harus bertanggungjawab menyelesaikan kemelut yang berlaku ini," katanya.

Terdahulu, Fatmi merasmikan Malam Anugerah Kecemerlangan Mahasiswa dan Malam Pra Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Kelantan di Hotel New Pacific, di sini malam tadi.
Turut hadir Rektor UiTM Cawangan Kelantan, Kampus Kota Bharu, Profesor Madya Dr. Mohd Shukri Omar dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa, Profesor Madya Zulkarnain Yusoff.

0 comments:

Post a Comment