Malaysia
pernah mengalami Krisis Kewangan pada akhir abad ke-20 iaitu pada tahun
1997 dan 1998. Krisis ini turut dialami beberapa negara serantau di
Asia Tenggara seperti Thailand, Filipina dan Indonesia. Kejatuhan nilai
Baht di Thailand dikatakan sebagai pencetus utama kepada permasalahan
ini. Masalah ini turut menghilangkan keyakinan para pelabur di beberapa
negara Asia Tenggara seterusnya mengakibatkan pelabur-pelabur asing di
negara-negara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina melarikan diri.
Malaysia yang turut tidak ketinggalan merasai kesan kehilangan keyakinan
para pelabur asing dapat menanganinya dengan pelbagai campur tangan
kerajaan. Terdapat beberapa fakta menarik mengenai Malaysia semasa
mengalami krisis kewangan ini. Pertama, Malaysia mampu menghidupkan
kembali ekonomi tanpa bantuan dan bebanan hutang daripada tabung
kewangan International Monetary Fund (IMF). Kedua, tidak berlaku apa-apa
pertukaran pucuk pemerintahan semasa krisis ekonomi sedang berlangsung
sebagaimana di Indonesia yang menyaksikan kejatuhan rejim Suharto.
Pemimpin di sebalik krisis ekonomi pada masa tersebut ialah Tun Dr.
Mahathir Bin Mohamad iaitu Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri
Kewangan. Maka, segala dasar yang dibentuk dan dilaksanakan untuk
menyelesaikan krisis ekonomi tersebut merupakan tanggungjawab beliau.
Bahagian awal esei ini akan mengupas secara deskriptif mengenai apa yang
dikatakan sebagai Krisis Kewangan 1997 supaya ia dapat memberi
pemahaman mengenai situasi yang dialami Malaysia. Seterusnya, ia akan
menyentuh bagaimana peranan kerajaan untuk menyelesaikan krisis
tersebut. Pengajaran daripada krisis kewangan ini ialah perlunya akan
sistem kewangan yang baik. Bahagian esei selanjutnya akan membincangkan
saranan Tun Dr. Mahathir Bin Mohamad terhadap penggunaan wang dinar
emas sebagai satu jalan penyelesaian yang tuntas terhadap masalah
kewangan. Dalam bahagian ini, kebaikan penggunaan dinar emas akan
dihuraikan satu-persatu dengan membandingkannya dengan penggunaan wang
kertas dalam beberapa aspek supaya ia dapat membuktikan bahawa
penggunaan dinar emas merupakan jalan penyelesaian kepada krisis mata
wang yang didakwa sebagai agenda Barat terhadap umat Islam. Oleh itu,
esei ini akan mengupas falsafah dan pandangan Tun Dr. Mahathir terhadap
isu kewangan dan jalan penyelesaiannya yang menguntungkan kuasa ekonomi
dan politik negara-negara umat Islam di dunia.
2.1 LATAR BELAKANG TUN DR. MAHATHIR MOHAMAD DAN KRISIS KEWANGAN 1997
Tun
Dr. Mahathir Bin Mohamad merupakan Perdana Menteri Malaysia keempat.
Beliau memegang jawatan tersebut selama 22 tahun bermula pada tahun
1981 hingga 2003. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia paling lama
berkhidmat dan salah seorang pemimpin paling lama berkhidmat dalam
kerajaan di rantau Asia. Ketika Malaysia mengalami Krisis Kewangan 1997,
beliau sedang memegang jawatan Perdana Menteri iaitu ketua kerajaan
bagi Malaysia dan ketua bagi badan pelaksana atau eksekutif. Beliau juga
memegang jawatan Menteri Kewangan pada tahun 1998 hingga 1999 setelah
pemecatan Datuk Seri Anwar Bin Ibrahim iaitu Timbalan Perdana Menteri
Malaysia merangkap Menteri Kewangan.
Kedudukan beliau
sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ini merupakan sesuatu yang
perlu diambil kira kerana ia mempunyai kaitan dengan dasar dan
keputusan-keputusan kerajaan untuk menyelesaikan kemelut ekonomi
Malaysia pada masa itu. Hal ini kerana jawatan Menteri Kewangan
merupakan jawatan dalam kabinet yang paling signifikan terhadap krisis
kewangan yang melanda Malaysia pada tahun 1997 dan 1998 selain kedudukan
beliau sebagai Perdana Menteri.
2.1.1 Krisis Kewangan Asia 1997
Krisis
Kewangan Asia 1997 merupakan krisis ekonomi yang berpunca daripada
spekulasi mata wang oleh spekulator-spekulator asing. Ia telah
mengakibatkan kelumpuhan ekonomi negara-negara di rantau Asia. Krisis
ini diambil sebagai kajian bagi menilai falsafah dan pandangan Tun Dr.
Mahathir Mohamad kerana ia berlaku setelah banyak kejayaan dan prestasi
yang memberangsangkan dicapai oleh Malaysia di bawah kepimpinan beliau.
Krisis ini merupakan cabaran terbesar bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad
kerana kebolehan untuk memulihkan ekonomi Malaysia akan menentukan
keupayaan sebenar beliau sebagai Perdana Menteri paling lama berkhidmat
di Malaysia.
Sebelum bulan Julai 1997, keadaan ekonomi Malaysia dikatakan
bertumbuh dengan pesat dan makmur. Hal ini dapat dilihat melalui
beberapa situasi kewangan dan statistik ekonomi. Pertama, Ringgit
Malaysia didagangkan pada nilai paling tinggi dan munasabah iaitu RM
2.50 kepada USD1$. Nilai ini adalah berdasarkan harga yang ditentukan
oleh apungan harga dalam pasaran dunia. Kedua, statistik pada akhir
tahun 1996 menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menaik
sebanyak 8.5 peratus. Ketiga, pada tahun 1997 satu statistik telah
dikeluarkan World Trade Organisation (WTO) berkenaan nilai perdagangan
Malaysia. Jumlah dagangan luar Malaysia bernilai lebih USD$158 bilion.
Di dunia, Malaysia menduduki tangga ke-18 tertinggi daripada segi nilai
eksport manakala daripada segi nilai import Malaysia menduduki tangga
ke-17 tertinggi di dunia. Keempat, inflasi berada pada tahap terendah
iaitu 2.1 peratus. Keseluruhan statistik ekonomi ini memperlihatkan
bahawa keadaan ekonomi Malaysia berada pada tahap yang memberangsangkan
seterusnya tidak menunjukkan apa-apa simptom kepada kerajaan bahawa
ekonomi Malaysia akan merudum. Maka, pada masa itu Tun Dr. Mahathir
Mohamad (2000), berpendapat bahawa kerajaan tidak perlu mencampuri
urusan ekonomi dengan menyatakan,
…Given
the happy environment, the thougt of revaluing or devaluing the ringgit
never occurred to the government. Malaysia was therefore content to
allow the market to determine the exchange rate…
(Mahathir 2000, 11)
Berdasarkan
tulisan R. S. Milne dan K. Mauzy (1999), terdapat empat perkara yang
membuktikan bahawa ekonomi Malaysia dalam keadaan krisis sejak Julai
1997. Pertama, kejatuhan nilai Baht di Thailand sebagai mata wang yang
kukuh di Asia Tenggara telah mengesankan beberapa negara serantau
seperti Filipina, Indonesia termasuk Malaysia. Kedua, mata wang Malaysia
telah didagangkan pada nilai terendah pada awal 1998 iaitu RM 5.00
kepada USD$1. Ketiga, nilai saham Malaysia jatuh 40 peratus. Keempat,
pendapatan per kapita Malaysia telah jatuh daripada USD$5000 kepada
USD$4000.
Kejatuhan
nilai mata wang menyebabkan kehilangan keyakinan para pelabur asing
untuk meneruskan pelaburan dan perdagangan di Malaysia. Menurut Hajrudin
Somun (2003), sehingga bulan Jun 1997, dunia masih lagi yakin kepada
kebolehan ekonomi Asia untuk terus berjalan dengan baik mengikut pasaran
dunia. Beberapa bulan kemudian, World Competitiveness Yearbook, iaitu
sebuah jurnal ekonomi terbitan American International Institute for
Management Development (IMD) yang berpengaruh telah mengeluarkan
kenyataan bahawa Malaysia mengalami beberapa masalah ekonomi yang
dikatakan sangat serius khususnya di peringkat mikroekonomi.
Selain
itu, masalah kewangan ini telah mengakibatkan kuasa beli dalam kalangan
rakyat Malaysia menjadi rendah. Hal ini telah mengakibatkan Malaysia
yang turut bergantung kepada pengimportan barangan, makanan dan
perkhidmatan dari luar negara telah tidak dapat mengekalkan taraf hidup
sedia ada. Pengurangan nilai ringgit sebanyak 40 peratus di Malaysia
adalah bersamaan dengan berkurangnya pendapatan perkapita negara
daripada US$5000 kepada USD$3000. Tambahannya, lebih USD$100 bilion
telah hangus daripada pasaran saham Malaysia. Jika dihitung, Malaysia
telah kehilangan USD$140 bilion dalam masa setahun.
2.2 Kaedah-kaedah Penyelesaian Krisis Kewangan 1997
Terdapat
beberapa kaedah penyelesaian krisis kewangan yang telah diaplikasikan
oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa menghadapi krisis tersebut.
Kebanyakan kaedah ini merupakan hasil daripada kepercayaan bahawa campur
tangan kerajaan boleh memecahkan kebuntuan bagi kemelut krisis kewangan
tersebut. Antara peranan kerajaan yang dibincangkan dalam bahagian ini
ialah penubuhan National Economic Action Council (NEAC), pembekuan nilai
Ringgit, tambatan nilai Ringgit dan penolakan pinjaman daripada
International Monetary Fund (IMF).
Pertama,
penubuhan National Economic Action Council (NEAC) oleh kerajaan
merupakan langkah yang terorganisasi untuk menyelesaikan kemelut ekonomi
ini. Jawatankuasa tersebut dianggotai oleh Tun Dr. Mahathir sendiri
sebagai Pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Pengerusi
dan Tun Daim Zainuddin sebagai Setiausaha Eksekutif. Selain itu, NEAC
turut melibatkan Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Ketua Pengarah
Badan Pemikir bagi Malaysia (Malaysian Think-tank) dan beberapa orang
tokoh korporat daripada bidang perniagaan. Badan bertindak ini
berperanan untuk melaksanakan dasar-dasar yang terdapat dalam National
Economic Recovery Plan (NERP). Selain itu, ia juga bertanggungjawab
untuk mengadakan mesyuarat setiap hari dengan tujuan mencari jalan
penyelesaian terhadap masalah ekonomi, perdagangan dan mata wang. Segala
keputusan yang diperoleh daripada badan bertindak ini akan dijalankan
tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada kabinet terlebih dahulu.
Kedua,
Malaysia telah mengambil langkah untuk menambat nilai mata wang agar ia
tidak terus jatuh dalam pasaran dunia yang tidak menentu. Tambahannya,
perdagangan bagi nilai Ringgit hanya sah jika dilakukan di Malaysia. Hal
ini telah membantu kerajaan untuk mengembalikan kawalan terhadap kadar
pertukaran wang ringgit. Malaysia telah menambat nilai Ringgit kepada
dolar Amerika kerana ia merupakan mata wang paling kukuh nilainya dalam
pasaran dunia. Nilai ringgit telah ditambat pada nilai RM 3.80 kepada
USD$1 manakala kadar pertukaran mata wang Malaysia kepada nilai mata
wang asing yang lain bergantung kepada nisbahnya kepada dolar Amerika.
Nilai RM 3.80 ialah yang paling kompetitif bagi Malaysia untuk bersaing
dengan negara-negara jiran dalam suasana krisis. Hal ini kerana jika
nilai Ringgit ditambat pada nilai yang terlalu tinggi nilainya
berbanding negara jiran yang lain ia akan menyebabkan Malaysia
kehilangan sumber-sumber kewangan daripada aktiviti pelancongan,
pengeluaran barangan dan makanan. Negara-negara yang mempunyai hubungan
perdagangan dengan Malaysia pastinya akan mencari pilihan di negara lain
kerana kos yang ditawarkan lebih murah.
Ketiga,
kerajaan Malaysia telah bertindak pantas untuk membekukan mata wang
Ringgit milik para pelabur asing yang berada di Malaysia. Pembekuan ini
adalah untuk mengelakkan mata wang Malaysia daripada terus mengalami
kebocoran ke luar negara tambahan pula dalam suasana krisis kewangan.
Dengan itu, mata wang Malaysia hanya akan mengalir dalam negara sahaja
seterusnya mengekalkan kuasa beli bagi para pengguna. Bagi
pelabur-pelabur asing pula, pembekuan ini mengelakkan mereka daripada
melaburkan mata wang Malaysia ke luar negara. Mereka hanya dibenarkan
untuk melaburkan simpanan Ringgit hanya di dalam Malaysia sahaja
seterusnya menggalakkan perniagaan dan peluang pekerjaan di dalam
negara. Maka, hasil daripada peranan kerajaan ini berjaya mengembalikan
kuasa kerajaan sendiri untuk menentukan kadar tukaran Ringgit berbanding
sebelumnya yang banyak dipengaruhi perdagangan mata wang oleh
pelabur-pelabur asing.
Keempat,
kerajaan tidak menerima bantuan tabung kewangan daripada IMF walaupun
tawaran sebanyak US$17 bilion disediakan kepada negara-negara yang
memerlukan. Pada awal krisis kewangan, IMF galak menawarkan cadangan
kawalan wang ringgit mengikut formula IMF. Walaubagaimanapun, Tun Dr.
Mahathir telah menolak pinjaman daripada IMF ini atas beberapa faktor
dan penilaian beliau terhadap keberkesanan IMF dalam konteks
pelaksanaannya di Malaysia. Malaysia memiliki keunikan tersendiri
daripada segi dasar ekonomi dan pembangunan iaitu pelaksanaan Dasar
Ekonomi Baru 1970 (DEB) dan Dasar Pembangunan Nasional 1990 (DPN) yang
memperlihatkan campur tangan kerajaan yang bertujuan untuk memperbaiki
taraf ekonomi dan menyusun semula masyarakat di negara ini. Pembahagian
kekayaan negara adalah berdasarkan acuan perkauman iaitu Melayu atau
Bumiputera, Cina dan India. Oleh itu, pendapatan per kapita dan Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK) tidak boleh dijadikan kayu pengukur untuk
melihat taraf ekonomi setiap unit keluarga atau individu di negara ini
kerana kecenderungan untuk sesetengah individu tidak termasuk dalam
statistik ini amat besar. Tun Dr. Mahathir Mohamad bimbang jika bantuan
pinjaman daripada IMF tidak dapat dibahagikan secara sama rata kepada
semua kaum sehingga mencetuskan ketidakadilan. Beliau amat khuatir jika
perkara tersebut akan menjadi pencetus kepada rusuhan kaum seperti
Peristiwa 13 Mei 1969.
2.3 Falsafah Tun Dr. Mahathir Mohamad di Sebalik Krisis Kewangan 1997
Krisis
Kewangan 1997 boleh dikatakan sebagai kebijaksanaan dan kebolehan Tun
Dr. Mahathir kerana jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan semasa itu. Dalam bahagian ini, falsafah Tun Dr. Mahathir
mengenai peranan kerajaan akan dikupas dengan melihat kepada
perbandingan kedudukan kerajaan dalam ekonomi kapitalisme dan
sosialisme. Selanjutnya, bahagian ini akan menilai pendekatan teori
Keynesian sebagai kaedah yang secocok dengan kaedah penyelesaian Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
Terdapat
dua sistem ekonomi yang membezakan peranan kerajaan iaitu kapitalisme
dan sosialisme. Sistem kapitalisme bergerak dalam pasaran bebas
(laissez-faire) dan memerlukan campur tangan paling minima daripada
kerajaan. Hal ini kerana sistem ini berpegang kepada konsep ‘tangan
halimunan’ atau invisible hand sebagaimana yang diutarakan Adam Smith.
Oleh itu, apa sahaja masalah ekonomi yang berlaku akan dibetulkan secara
semulajadi mengikut pengeluaran dan permintaan. Sistem sosialisme pula
mempercayai kawalan pusat oleh kerajaan dan konsep yang sesuai ialah
pemiliknegaraan. Sebarang permasalahan ekonomi memerlukan peranan
kerajaan untuk memelihara dan membetulkan situasi ekonomi. Hal ini
kerana matlamat akhir bagi sistem ekonomi sosialisme ialah kesamarataan
dan keadilan.
Berdasarkan
perbezaan peranan dan kedudukan kerajaan dalam ekonomi kapitalisme dan
sosialisme ini, Tun Dr. Mahathir berpandangan bahawa dalam suasana
krisis ekonomi kerajaan perlu bertindak sebagai perancang dan penampan.
Perkara ini dapat dilihat melalui kaedah-kaedah penyelesaian Krisis
Kewangan 1997 yang telah dibincangkan dalam bahagian sebelum ini.
Penubuhan jawatankuasa seperti NEAC yang dianggotai Tun Dr. Mahathir,
Datuk Seri Anwar dan Tun Daim Zainuddin merupakan bukti bahawa kerajaan
itu lebih baik untuk campur tangan berbanding membiarkan ia pulih secara
semulajadi. Hal ini kerana ketiga-tiga ahli tertinggi tersebut juga
merupakan anggota kerajaan dan telah melaksanakan pelbagai pelan dan
dasar untuk memulihkan ekonomi. Selain itu, tambatan nilai ringgit
Malaysia kepada dolar Amerika memperlihatkan campur tangan kerajaan
dalam pasaran mata wang dunia. Tindakan ini diambil semata-mata untuk
memelihara nilai mata wang negara daripada terus jatuh mengikut suasana
pasaran yang tidak menentu. Oleh itu, falsafah ekonomi yang sesuai
menurut pandangan Tun Dr. Mahathir ialah perlunya campur tangan kerajaan
iaitu mirip kepada sistem sosialisme dan teori Keynesian.
Tun
Dr. Mahathir juga berpandangan bahawa kerajaan harus mengambil bahagian
dan berperanan untuk menyelesaikan krisis kerana ia berkait rapat
dengan sokongan rakyat terhadap kerajaan. Sistem politik yang mendasari
Malaysia ialah demokrasi berparlimen. Dalam sistem ini, sebahagian ahli
kabinet bagi sesebuah kerajaan dipilih daripada parti yang menang dalam
proses pilihan raya. Kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui pilihan
raya dianggap oleh rakyat sebagai satu badan yang mempunyai
tanggungjawab untuk menjaga kebajikan mereka. Salah satu tanggungjawab
kerajaan adalah untuk menghidupkan semula ekonomi yang telah menjejaskan
taraf hidup rakyat Malaysia semasa itu. Jika kerajaan tidak memainkan
peranan dan tanggungjawab mereka dengan berkesan dalam suasana krisis
ini, kemungkinan besar kepimpinan Tun Dr. Mahathir akan rebah seperti di
Indonesia atau tidak dipilih lagi dalam proses pilihan raya. Di
Indonesia, rejim Suharto tumbang ketika kemelesetan ekonomi tidak dapat
dibendung oleh pemerintah dan ia dipertajam lagi dengan masalah
pentadbiran Indonesia yang dirujuk sebagai Korupsi, Kolusi dan Nepotisme
atau singkatannya KKN.
Penyelesaian
krisis kewangan oleh Tun Dr. Mahathir ini juga secocok dengan teori
Keynesian yang menggalakkan campur tangan negara. Menurut teori
Keynesian ini, keseimbangan ekonomi tidak berjalan secara semulajadi
sebaliknya sentiasa dipengaruhi peranan negara. Dalam konteks Malaysia,
negara ini dirujuk sebagai kerajaan. Kerajaan banyak berperanan dalam
menangani krisis ini seperti tambatan mata wang, suntikan modal dan
mempertahankan urusan ekonomi Malaysia daripada dicampuri IMF. Teori
Keynesian ini merupakan idea John Maynard Keynes iaitu seorang ahli
teori ekonomi. Beliau mempunyai pendirian tersendiri mengenai sistem
kewangan. Menurut beliau, sistem kewangan itu umpama sistem peredaran
darah tubuh badan manusia dengan darah sebagai wang. Maka, wang perlu
beredar dalam pasaran untuk menjamin sistem kewangan yang baik. Jika
sesuatu kemelesetan ekonomi berlaku, negara perlu bertanggungjawab untuk
memulihkan keadaan dengan menyuntik wang ke dalam ekonomi sama ada
melalui pengurangan kadar faedah atau mencetak lebih banyak wang.
Saranan John Maynard Keynes ini diguna pakai oleh Tun Dr. Mahathir untuk
menangani krisis kewangan iaitu dengan menyuntik wang ringgit ke dalam
ekonomi Malaysia dan ia mempunyai kaitan rapat dengan kerjaya asal Tun
Dr. Mahathir sebagai seorang doktor. Kaitannya ialah John Maynard Keynes
menganggap sistem kewangan sebagai sistem peredaran darah manusia
manakala negara sebagai doktor yang merawatnya.
3.1 KETIDAKSTABILAN PENGGUNAAN WANG KERTAS
Pengajaran
daripada Krisis Kewangan 1997 ialah kesedaran akan betapa buruknya
kesan penggunaan sistem kewangan yang berasaskan wang kertas atau wang
fiat. Penggunaan wang kertas secara meluas di seluruh dunia telah
mengiktirafnya sebagai wang yang berfungsi untuk dijadikan alat
pertukaran, alat penyimpan nilai, alat pengukur nilai dan alat bayaran
untuk masa hadapan. Penggunaan mata wang kertas ini menjadi asas ke arah
kewujudan tabung kewangan iaitu IMF. Ia merupakan manifestasi
Perjanjian Bretton Woods yang telah menguatkan cengkaman negara Barat
dan Amerika Syarikat terhadap Negara-negara Dunia Ketiga. Nilai mata
wang Amerika Syarikat contohnya diyakini lebih tinggi daripada
negara-negara seterusnya menguatkan manipulasi terhadap negara-negara
lemah. Selepas Perjanjian Bretton Woods pada Julai 1944, nilai mata wang
kertas Amerika Syarikat disandarkan kepada nilai emas yang disimpan
dalam bank pusat sehinggalah pada tahun 1971 Presiden Richard Nixon
telah menghapuskan sandaran emas tersebut sebaliknya mengapungkan nilai
wang kertas di pasaran dunia. Ketika krisis kewangan berlaku, IMF akan
menawarkan pinjaman terhadap negara-negara yang dilanda masalah
sebagaimana negara-negara di Asia yang menjadi mangsa spekulasi dan
manipulasi mata wang. Pinjaman ini pula mempunyai nilai-nilai
tersembunyi seperti pertambahan nilai faedah bayaran yang mempunyai
unsur riba.
3.1.1 Pandangan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap Penggunaan Wang Kertas
Tun
Dr. Mahathir Mohamad berpandangan bahawa penggunaan wang kertas secara
meluas megakibatkan beberapa kesan buruk. Kesan buruk ini telah
mengakibatkan ekonomi Malaysia jatuh pada akhir dekad 1990. Segala
spekulasi dan manipulasi mata wang yang berasaskan wang kertas telah
meningkatkan kefahaman Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap keburukan dan
permasalahan penggunaan wang kertas di seluruh dunia terutama sekali
berkenaa kesannya terhadap ekonomi umat Islam.
Kebimbangan
Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap penggunaan wang kertas dapat dilihat
sejak tahun 1980-an lagi. Beliau dalam ucapan pada kursus agama anjuran
Biro Agama UMNO Malaysia pada 27 November 1981 menyatakan,
…Sistem
kewangan dunia yang digunakan sekarang yang bergantung bukan lagi
kepada penggunaan emas dan perak tetapi wang kertas dan cek dan ini
bukanlah daripada sistem Islam. Dari sistem inilah wujudnya bank,
pertukaran wang, surat janji, pengadilan janji-janji perdagangan,
pelaburan, eksport, import, insurans dan lain-lain lagi. Sistem ini
menguasai seluruh dunia sehingga kita tidak dapat tidak mesti
menggunakannya…
(Petikan ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam kursus agama anjuran Biro Agama UMNO 1981)
Menurut Salmi dan Mumin (2009), Krisis Kewangan 1997 telah menyedarkan dan
meningkatkan
kefahaman Tun Dr. Mahathir terhadap penggunaan mata wang Islam
berteraskan dinar emas dan dirham perak. Pada tahun yang sama iaitu
1997, dalam ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena Seminar Tahunan Bank
Dunia di Hong Kong, beliau membidas aktiviti perdagangan mata wang yang
berasaskan penggunaan wang kertas. Bagi Tun Dr. Mahathir Mohamad
perdagangan mata wang merupakan satu amalan yang tidak perlu, tidak
produktif dan bertentangan dengan moral. Ia harus dihentikan dan
diharamkan di sisi undang-undang. Perdagangan mata wang ini merupakan
punca utama kepada kejatuhan nilai Ringgit di Malaysia khususnya dan di
negara-negara rantau Asia amnya.
Penggunaan
wang kertas juga memudahkan dan menggalakkan spekulasi dan manipulasi
mata wang. Hal ini kerana wang kertas itu sendiri tidak memiliki nilai
intriksik seperti dinar emas yang nilainya tidak akan susut sebagaimana
wang kertas. Dalam ucapan perutusan Hari Raya Aidilfitri 1999, Tun Dr.
Mahathir Mohamad menyatakan
…wang
ini tidak boleh dijual sebagai bahan mentah kerana ia bukan bahan
mentah yang mempunyai kegunaan tertentu tetapi mereka menukar nilai mata
wang dengan menukar jumlah dolar Amerika yang boleh ditukar dengan mata
wang tertentu. Dengan cara ini mereka mengambil alih kuasa kerajaan…
(Petikan ucapan Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena Hari Raya Aidilfitiri 1999)
Oleh
itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpandangan bahawa penggunaan mata wang
kertas mengakibatkan tiga kesan. Pertama, ia memerangkap seluruh
negara-negara Islam terhadap agenda Barat yang cuba menguasai
negara-negara Islam dengan menggunakan alat sistem kewangan yang berat
sebelah. Kedua, penggunaan wang kertas menyebabkan aktiviti jual beli
mata wang yang mengakibatkan ketidakadilan dalam sistem kewangan dunia.
Ketiga, wang kertas tidak memiliki nilai intrinsik yang tersendiri lalu
menyebabkan nilainya susut dengan kadar yang begitu besar berbanding
dinar emas.
4.1 DINAR EMAS SEBAGAI MATA WANG
Tun
Dr. Mahathir menyarankan penggunaan wang dinar emas sebagai jalan
penyelesaian dan tindakan daripada pengajaran Krisis Kewangan 1997. Satu
sistem kewangan yang baik sangat diperlukan untuk diguna pakai supaya
tidak berlaku perdagangan mata wang yang merosakkan kestabilan ekonomi
dan penindasan terhadap negara-negara yang rendah nilai mata wangnya.
Selaras dengan sifat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai seorang pemimpin
yang lantang dan berpengaruh dalam kalangan negara-negara anggota
Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC), beliau telah
menyarankan penggunaan dinar emas sebagai wang untuk menggantikan wang
kertas yang jelas telah menyebabkan pelbagai masalah ekonomi di
peringkat mikro dan makro.
Dalam ucaptama beliau ketika Persidangan Dunia Pertama Mengenai Riba pada 1 November 2010 di Kuala Lumpur ada menyatakan,
…Kerajaan seharusnya menimbangkan penggunaan dinar emas bagi menghentikan perang mata wang…
Selain
itu, dalam International Conference on The Gold Dinar Economy pada 24
dan 25 Julai 2007 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) beliau telah
menyediakan asas kukuh untuk mengembalikan usaha dan tekad bagi
membincangkan dan mengusahakan pelaksanaan dinar emas. Maka, jelas
bahawa beliau begitu bersungguh-sungguh untuk mengembalikan sistem
kewangan dalam Islam sebagai wadah perjuangan untuk menegakkan Islam
dalam aspek ekonomi seterusnya mencari penyelesaian tuntas kepada krisis
kewangan yang telah berlaku sebagaimana pada tahun 1997.
4.2 Faedah Penggunaan Dinar Emas sebagai Mata Wang
Menurut
Salmy dan Mumin (2009), dinar emas merupakan mata wang logam yang
diperbuat daripada bahan asal iaitu emas dan dibuat dalam bentuk
kepingan syiling. Nama lain bagi dinar emas ialah mata wang syariah umat
Islam kerana ia ditempa mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Saidina
Umar Al-Khatab. Ciri-ciri dinar emas ialah ia diperbuat daripada emas
tulen 22 karat atau emas jenis 917 dengan berat 4.25 gram bagi setiap
keping. Penggunaan dinar emas dalam sejarah telah direkodkan sejak Zaman
Jahiliah lagi. Ia diteruskan penggunaannya pada zaman junjungan besar
Nabi Muhammad S.A.W. sehinggalah ke Zaman Kegemilangan Islam. Akhirnya,
ia tidak digunakan setelah kejatuhan kerajaan Islam iaitu Empayar
Uthmaniah. Terdapat empat faedah utama penggunaan dinar emas iaitu
peranan sebagai penangkis spekulasi mata wang, mata wang sejagat untuk
umat Islam, nilai susut dan naik bagi dinar emas yang kecil dan terkahir
ialah ia mampu mengeluarkan umat Islam daripada cengkaman ekonomi Barat
seterusnya menguatkan kuasa ekonomi dan politik negara-negara Islam.
4.2.1 Penangkis Spekulasi dan Manipulasi Mata Wang
Sistem
kewangan masa kini yang berteraskan wang kertas gagal untuk menangani
spekulasi dan manipulasi dalam kewangan dunia. Jika penggunaan dinar
emas dapat dilaksanakan di seluruh dunia maka nilai mata wang di setiap
negara di dunia adalah sama. Sebagai contoh, nilai dinar emas di
Malaysia adalah sama dengan nilai dinar emas di Turki. Ia akan
mengelakkan kewujudan nilai mata wang yang berbeza antara kedua-dua
negara. Nilai mata wang Malaysia tidak akan menjadi rendah apabila
dibawa ke negara Turki seperti kebiasaan dalam sistem ekonomi sekarang.
Hal ini akan menggalakkan persaingan yang sihat antara negara-negara di
dunia tidak kira sama ada dunia Islam atau dunia Barat. Nilai mata wang
yang sama ini akan dapat mengelakkan spekulasi dan manipulasi oleh
negara-negara yang memiliki nilai mata wang yang lebih besar sebagaimana
mata wang sekarang yang disandarkan nilainya kepada dolar Amerika
Syarikat seterusnya mengecilkan nilai mata wang seperti Malaysia yang
pernah didagangkan pada nilai RM 5.00 kepada USD$1 ketika Krisis
Kewangan 1997.
4.2.2 Mata Wang Sejagat bagi Negara-negara Umat Islam
Umat
Islam mempunyai kesepakatan yang utuh apabila ia melibatkan soal-soal
syariat umat Islam sebagaimana contoh-contoh lazim iaitu solat, zakat
dan ibadah Haji. Dinar emas juga merupakan syariat dalam agama Islam. Ia
berdasarkan ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadis. Dalam kitab Al-Quran
disebut dalam Surah Ali Imran 3:75 bahawa adanya penggunaan dinar emas
sebagai alat simpanan nilai. Dalam Surah Yusuf 12:20 pula ada disebut
penggunaan dirham perak dalam urusan jual beli. Maka, perintah dalam
Al-Quran dan kajian ilmu Hadis sememangnya menunjukkan bahawa penggunaan
dinar emas sebagai mata wang adalah merupakan syariat yang dituntut
untuk umat Islam melaksanakannya. Berdasarkan sejarah dunia Islam pula,
dinar emas telah digunakan sejak Zaman Jahiliah. Ia telah diteruskan
penggunaannya dalam Zaman Rasulullah S.A.W. sehingga ke Zaman
Kegemilangan Islam. Akhirnya, penggunaan dinar emas telah terhenti
setelah kejatuhan Empayar Uthmaniah. Selain itu, emas juga merupakan
komoditi yang dituntut pembayarannya dalam ibadah zakat. Berdasarkan
perintah Al-Quran, ilmu Hadis, bukti-bukti penggunaan dalam sejarah
Islam dan emas sebagai unsur penting ibadah zakat maka ia diyakini dapat
menyatukan seluruh umat Islam dalam hal ekonomi atau lebih tepat dalam
konteks sistem kewangan Islam.
4.2.3 Perubahan Nilai Dinar Emas
Nilai
dinar emas juga juga boleh susut dan naik mengikut permintaan dalam
pasaran. Hal ini kerana emas merupakan bahan yang merupakan komoditi
dalam pasaran seperti gandum dan beras. Walaubagaimanapun, susut dan
naik bagi nilai dinar emas tidak dalam skala yang besar sebagaimana wang
kertas. Nilai yang tinggi bagi perubahan nilai wang kertas dapat
dilihat dalam Krisis Kewangan 1997 dengan menilai jumlah dagangan mata
wang Malaysia sebelum krisis iaitu RM 2.50 kepada USD$1 telah jatuh
sehingga RM 5.00 kepada USD$1 semasa krisis. Bukti ini memperlihatkan
bahawa nilai wang kertas boleh susut dengan mendadak dan menaik dalam
nilai yang sangat berbeza jumlahnya. Situasi ini dapat dielakkan dengan
terlaksananya penggunaan dinar emas. Ia boleh mengelakkan kerugian besar
kepada negara yang mengalami kemerosotan ekonomi manakala yang mendapat
keuntungan tidak akan mendapat keuntungan yang terlalu besar sehingga
melebarkan lagi jurang antara si kaya dengan si miskin. Dalam penilaian
terhadap masalah utama sistem kapitalisme, masalah bagi si kaya
bertambah kaya dan si miskin bertambah miskin akan dapat dielakkan.
4.2.4 Keuntungan Ekonomi dan Kuasa Politik Umat Islam
Penggunaan
dinar emas akan dapat direalisasikan jika semua negara Islam dalam
Pertubuhan Persidangan Negara-negara Islam (OIC) bertekad untuk
melaksanakannya. Penggunaan dinar emas secara menyeluruh akan dapat
menguatkan ekonomi umat Islam daripada segi pengeluaran dan permintaan
dalam pasaran yang sihat dan adil. Apabila perdagangan antarabangsa
dapat dikuasai negara-negara Islam maka secara tidak langsung ia akan
memperkuatkan kuasa politik umat Islam. Dengan itu, negara-negara Islam
yang kebanyakannya tersenarai dalam kumpulan pinggir dan separa pinggir
dalam teori kebergantungan akan dapat menukar taraf kepada negara pusat.
Kuasa ekonomi dan politik yang kuat ini akan dapat membantu
negara-negara Islam menentukan sendiri hal ehwal ummah yang selama ini
bergantung kepada peranan Barat seperti dalam isu Palestin yang
memerlukan bantuan organisasi supranasional iaitu Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Penggunaan dinar emas dalam sistem kewangan
ini akhirnya akan dapat menyelesaikan masalah yang ditimbulkan oleh Tun
Dr. Mahathir Mohamad iaitu negara-negara Islam yang terperangkap dalam
agenda ekonomi Barat.
5.1 RUMUSAN
Esei
ini telah membincangkan falsafah Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam
penyelesaian Krisis Ekonomi 1997 yang jelas menunjukkan keperluan campur
tangan kerajaan sebagaimana teori Keynesian. Penyelesaian ekonomi yang
menitikberatkan peranan kerajaan ini dilihat mempunyai kaitan dengan
kerjaya beliau sebelum menceburi dunia politik iaitu doktor perubatan.
Keadaan krisis ekonomi diibaratkan seperti seorang pesakit yang sedang
mengalami penyakit kronik maka ia memerlukan khidmat seorang doktor
iaitu perumpaan kepada kerajaan untuk mencari penawar kepada penyakit
tersebut. Dalam bahagian seterusnya, esei ini telah mengemukakan
pandangan beliau bahawa penggunaan wang kertas telah menakibatkan
spekulasi dan manipulasi yang begitu teruk mengesankan ekonomi Malaysia.
Terdapat tiga keburukan utama yang dikemukakan oleh beliau iaitu sistem
kewangan masa kini yang bukan sistem kewangan menurut ajaran Islam,
aktiviti perdagangan mata wang yang mengakibatkan ketidakadilan dalam
sistem kewangan dan wang kertas yang tidak memiliki nilai intrinsiknya
yang tersendiri sebagaimana dinar emas. Bahagian seterusnya
memperkenalkan latar belakang dinar emas sebagai mata wang dalam amalan
Islam. Dalam bahagian terakhir esei ini dihuraikan empat faedah
penggunaan mata wang dinar emas terhadap umat Islam iaitu sebagai
penangkis spekulasi mata wang, mata wang sejagat umat Islam, perubahan
susut dan naik nilai emas yang berskala kecil dan sebagai wadah umat
Islam membebaskan diri daripada sistem kewangan masa kini yang
memerangkap umat Islam dalam agenda ekonomi dan politik dunia Barat.
Kesimpulannya, falsafah kewangan Tun Dr. Mahathir Mohamad menekankan
peranan kerajaan dalam menangani krisis kewangan sesuai dengan sifatnya
sebagai doktor perubatan dan cadangan penggunaan dinar emas sebagai
ganti wang kertas oleh beliau perlu dilaksanakan penggunaannya untuk
kemaslahatan ummah dalam hal yang melibatkan ekonomi dan politik.