PENERANGAN RINGKAS APA ITU DINAR DAN DIRHAM

Dibawah ini ada sedikit pencerahan berkenaan persoalan apa itu Matawang Dinar Dirham dan bagaimana untuk kita aplikasikan muamalat ini dalam urusan perniagaan dan jual beli seharian.
DINAR DIRHAM
Dinar ialah syiling emas. Dirham ialah syiling perak. Kedua-duanya mata wang syariah, digunakan untuk membayar zakat, mas kahwin, tabungan, bahan perantara, hadiah, sedekah dan diyah.
PIAWAIAN UMAR AL-KHATTAB
Khalifah Islam kedua, Saidina Umar al-Khattab radhiy allahu anhu telah menetapkan timbangan berat 10 dirham bersamaan 7 mithqal (berat dinar) emas. Tumpuan ukuran piawaian ini bukanlah pada harga emas dan perak tetapi kepada berat logam-logam itu.
DINAR DIRHAM MATA WANG SYARIAH
Nas dan dalil telah menyebut dan mengaitkan banyak penghakiman kepada kedua-duanya, contohnya zakat, nikah kahwin, hudud dan lain-lain, oleh itu dalam nas dan dalil, dinar dirham turut menjadi asas untuk penilaian (zakat, dan lain-lain) dengan ukuran tertentu, berbanding dengan lain-lain syiling yang bukan syarii.
“Ketahuilah adanya ijma berat sepuluh dirham syariah itu bersamaan dengan tujuh mithqal (berat dinar) emas. Berat satu mithqal emas ialah tujuh puluh dua biji barli maka dirham yang merupakan tujuh persepuluh beratnya ialah lima puluh dan dua perlima biji. Semua ukuran dan timbangan ini sudah pun sepakat diterima.” – Ibn Khaldun, al-Muqaddimah.

ASAL USUL DINAR DIRHAM
Pada mulanya orang Islam menggunakan emas dan perak mengikut berat iaitu denarius (syiling emas) daripada empayar Romawi dan drachma (syiling perak) daripada empayar Sasan, Parsi yang berlegar sebagai mata wang pada waktu itu.
Apabila Nabi Muhammad salallahu ‘alaihi wa sallam dipilih sebagai Rasul, kedua-dua syiling itu yang dikenali oleh masyarakat Arab sebagai dinar dan dirham, dinaikkan taraf sebagai mata wang rasmi dalam urusan perniagaan. Di zaman keempat-empat Khulafah Al-Rashidin, kalimah-kalimah tauhid seperti La ilaha illallah, Alhamdulillah, Bismillah, Bismillahi Rabbi, Rabbi Allah telah diukir pada drachma empayar Sasan yang masih mengekalkan gambar Maharaja Sasan pada masa itu.
Semasa pemerintahan Saidina Uthman bin Affan radhiy allahu anhu, buat pertama kalinya orang Islam mencatat tarikh takwim Islam dan tempat ia ditempa pada drachma perak Maharaja Sasan, Yezdigird III.
Syiling-syiling dinar dan dirham ini berbeza daripada yang terdahulu kerana pada bahagian hadapan terdapat tulisan Bismillah dalam bahasa Arab. Selepas itu, menjadi kebiasaan syiling dinar dan dirham yang ditempa orang Islam mengandungi nama Allah dan sebahagian ayat al-Quran.

DINAR DIRHAM ISLAM PERTAMA
Pada tahun 77 Hijrah, Khalifah Ummaiyyah ke-5, Abd al-Malik ibn Marwan menempa dinar Islam pertama dengan corak yang berbeza daripada syiling-syiling terdahulu. Pada syiling baru itu tidak lagi tertera gambar haiwan, wajah manusia ataupun lambang-lambang agama dan kepercayaan lain.
Pada syiling dinar terbaru itu, tertera kalimah dalam tulisan resam kufi La ilaha illalllah wahdahu La syari kalah dan Allah Yang Esa dan Allah Kekal Abadi berserta tarikh dan tempat ia ditempa dengan berat yang dikawal pada 4.25 gram.
Dua tahun kemudian dirham Islam dengan corak baru itu ditempa pada berat terkawal 2.97 gram. Pada bahagian hadapan tertera kalimah dalam tulisan resam kufi La ilaha illallah wahdahu La syari kalah. Di bahagian belakang tertera surah al-Ikhlas dan sebahagian surah at-Taubah ayat 33.
Dinar dan dirham bercorak biru itu berbentuk bulat dan biasanya dihiasi dengan tahlil dan tahmid iaitu La ilaha illallah dan Alhamdulillah di satu nuka dan nama Amir atau Wazir , tarikh dan tempat ia ditempa pada muka yang lain.
Dengan tertempanya dinar dan dirham sedemikian, Khalifah Abd Malik ibn Marwan telah melaksanakan ketetapan Piawaian Umar al-Khattab kepada kedua-dua mata wang syariah itu.

AYAT QURAN DI DINAR DIRHAM
Taqyuddin Al-Maqrizi dalam kitabnya Ighatatul ummah bi kash fil ghummah merujuk kepada Imam Malik ibn Anas radhiy allahu anhu tentang hal ini. Imam Malik ditanya tentang perlunya mengubah tulisan dalam syiling dirham dan dinar kerana tertera ayat Quran. Dia menjawab;
“Banyak orang menjalankan kaedah agama ketika syiling pertama ditempa pada zaman Abd al-Malik ibn Marwan. Dan tak seorangpun melarangnya dan saya tidak pernah menemukan seorang ulama pun yang melarangnya, meskipun telah sampai kepada saya bahawa Ibn Sirin (seorang Tabi’in yang dikenal sebagai perawi hadith – meninggal 110H) membenci penggunaan syiling-syiling tersebut dalam jual beli, masyarakat tetap menggunakannya dan saya tidak pernah melihat seorang pun yang melarangnya di sini (di Kota Madinah).”
Abd al-Malik ibn Marwan sendiri pernah ditegur oleh seseorang mengenai hal tersebut yang kisahnya juga diriwayatkan oleh Maqrizi;
“Dirham putih ini tertera ayat Quran dan dipegang oleh orang Yahudi, Kristian, orang-orang yang tidak suci (tidak dalam keadaan berwuduk) dan perempuan-perempuan yang sedang haid. Sebaiknya anda menghapuskannya.’ Jawapan sang Khalifah adalah, “Apakah anda menghendaki kaum lain menuduh kita menghapuskan keyakinan akan tauhid dan nama Rasul salallahu ‘alalihi wasallam?”

DINAR DIRHAM MASA KINI
Dinar dirham masa kini ditempa mengikut Piawaian Umar al-Khattab. Setiap dinar ialah seberat 4.25 gram dengan ketulinan 22 karat (.917) dan setiap dirham ialah seberat 2.975 gram perak tulin (.999). Ukuran dan timbangan ini dikawalselia oleh World Islamic Mint (WIM), badan dunia pertama yang memperkenalkan semula dinar dirham pada zaman moden ini pada tahun 1992.

KEPENTINGAN DINAR DIRHAM
Sejak permulaan Islam sehinggalah jatuhnya pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah pada tahun 1924, dinar dan dirham merupakan mata wang rasmi orang Islam dalam urusan berjual beli harian, membayar zakat, mahar dan lain-lain lagi.
Dinar dan dirham ialah mata wang syariah. Penggunaan semula dinar dan dirham secara meluas dalam semua jenis urusan kewangan akan membolehkan kita menegaakkan semula hukum-hukum syariah dalam bermuamalat di samping mengembalikan kekayaan sebenar kepada masyarakat.
Sebelum mata wang diperkenalkan mata wang emas dan perak juga tidak asing bagi orang bukan Islam. Kesemua tamadun besar dunia di Eropah, India, China, dan Afrika turut menggunakan syiling emas dan perak malah kedua-dua syiling itu juga amat rapat dengan kehidupan dan kebudayaan harian mereka.

KEBEBASAN
Kembalilah kepada mata wang emas dan perak. Dinar dan dirham ialah sebahagian daripada wahyu dan sunnah. Dinar dan dirham menawarkan kestabilan dan ketertiban. Dinar dan dirham ialah jawapan kepada manipulasi wang kertas. Dinar dan dirham ialah kebebasan.

 MENDAPATKAN DINAR DIRHAM
Sila rujuk laman-laman web ini:
http://www.arrahn.pkb.net.my/ atau http://dinarkel.net/
HARGA SEHARIAN
Untuk mendapatkan harga harian dinar dirham, sila layari:
http://islamicmint.com.my

0 comments:

Post a Comment