Dinar Emas Dan Dirham Perak Sebagai Dasar Kewangan Peribadi

“Kita tidak akan mampu menukar dasar kewangan negara, TETAPI kita mampu untuk menukar dasar kewangan peribadi untuk diri kita sendiri”

Sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah terlalu lama menjadi golongan pengikut tidak kira dalam apa perkara sekalipun. Ini termasuklah dalam penggunaan matawang fiat, bukan sahaja kita di Malaysia malah seluruh umat dan masyarakat dunia terpaksa menggunakannya.

Selagi kita tidak berubah menjadi golongan yang memiliki kuasa dan kata pemutus maka selagi itulah kita akan terus menjadi golongan pengikut dan terbelenggu dengan sistem kapitalis. Keadaan ini jelas terbukti apabila negeri yang mahu memperkenalkan penggunaan dinar telah dicantas dan dibantutkan perkembangannya di peringkat kerajaan pusat. Disebabkan rakyat tiada kuasa pemutus, mahu atau tidak terpaksa juga mengikut. Sama ada mengikut atau melawan akhirnya rakyat juga yang teruk ditekan dan terpaksa tunduk dengan persekitaran ekonomi semasa yang semakin hari semakin meruncing. Tiada gunanya kita bersorak gembira kerana nilai ringgit lebih tinggi berbanding dolar US, sedangkan nilainya tidak membawa apa-apa makna kepada kita kerana kuasa belinya semakin merosot dan bakal menjunam dengan teruk kelak.

Sebagai rakyat Malaysia yang bijak kita seharusnya mencontohi tindakan satu-satunya wilayah di US yang menjadikan emas dan perak sebagai matawang yang sah. Wilayah yang dimaksudkan ialah Utah. Sebagai langkah berhadapan dengan bencana krisis kewangan dunia yang semakin parah akibat salah urus tadbir kerajaan pusat, Wilayah Utah menjadi negeri pertama di US mengambil tindakan perundangan mahkamah melindungi asset rakyatnya dengan menjadikan logam emas dan perak sebagai matawang yang sah di sisi undang-undang negeri tersebut.

Idea berkenaan timbul kerana masyarakat US khususnya di wilayah Utah sudah hilang kepercayaan terhadap matawang Dollar. Langkah bijak tersebut telah dipelopori oleh Brad Galves seorang wakil Republikan yang menaja usul tersebut sebagai bantahan terhadap polisi kewangan Rizab Persekutuan (Federal Reserves).

Justeru adalah wajar sekiranya setiap kerajaan negeri di Malaysia berusaha menghasilkan satu matawang dinar dan dirham negeri yang rasmi dan diiktiraf mengikut piawaian seperti yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri Kelantan dan Perak sebagai backup atau persediaan untuk rakyat mengharungi ketidak tentuan ekonomi ketika ini dan pada masa mendatang.

Namun untuk melihat semua usaha itu berlaku mungkin akan mengambil masa yang lama. Adalah sesuatu yang mustahil untuk kita mengubah dasar kewangan negeri mahupun negara. Maka ada baiknya kita sendiri menukar dasar kewangan peribadi dengan menyimpan dan menabung dalam bentuk emas dan perak bagi menjamin masa depan hidup kita dan juga keluarga. Walaupun masih banyak lagi negeri yang tidak mempunyai dinarnya secara rasmi, namun usaha individu dan syarikat persendirian yang memperkenalkan keluaran dinar dan dirham masing-masing dilihat sebagai suatu langkah alternatif yang positif untuk memberikan peluang kepada rakyat untuk memiliki dinar dan dirham dan bermuamalat dengannya. Kita sebagai umat Islam harus yakin dengan wang sunnah (dinar dan dirham) ini. Dengan tindakan berpatah balik menjadikan emas dan perak sebagai medium wang tunai ia secara tidak langsung akan menghidupkan semula muamalah dan sunnah Rasulallah SAW.

Kesimpulannya apa yang terjadi di Utah sebenarnya membuka mata kita untuk melihat betapa rakyat US merasa marah dan tidak berpuas hati terhadap polisi kewangan dan hutang negara mereka. Namun mudah sahaja mereka mengajar kerajaan iaitu dengan menukarkan dollar mereka kepada emas dan perak. Sesungguhnya ia adalah suatu tindakan yang amat bijak dan wajar untuk kita contohi demi menyelamatkan kewangan dan asset hasil titik peluh kita sendiri. Renung-renungkan dan selamat beramal... Wallahualam.

p/s: Walaupun nilai dollar jatuh , namun US masih lagi selamat kerana mereka memiliki simpanan emas terbesar di dunia. Tapi buat tanah tumpahnya darahku, berapakah simpanan emas yang negara kita ada??? Sayangnya simpanan emas kita antara yang paling sedikit di Asia... sangat-sangat menyedihkan...


0 comments:

Post a Comment